Fran kembali semula ke pangkuan Manan!

ARTIS: Francisca Peter
JUDUL: Berlian
GENRE: Pop komersial

GEMBIRA ria saya apabila Berlian berada dalam tangan. Bukan berlian yang menjadi sahabat sejati wanita tapi judul album Fran ini. Ini dia album himpunan 20 lagu terbaik Fran yang memang dinantikan ramai. Siapa boleh lupa kehebatan Fran dengan lagu gubahan komposer Manan Ngah seperti Sekadar Di Pinggiran, Kerna Terpaksa malah senarai itu memanjang sehingga Oo La La Tropika.

Penulis lirik cinta cukup puitis, kalau pada era 1980-an cukup sinonim dengan Mama Juwie, Habsah Hassan, S Amin Shahab, Lukhman S dan Seri Bayu.

Wajah dan vokal Fran masih tetap kukuh terakam dalam jiwa dan minda mungkin kerana pembawaan dirinya yang 'lebih Melayu' dari orang Melayu sendiri. Sebutan yang luhur dan jujur walaupun bahasa pertuturan utama-nya adalah Inggeris. Jelas butir dan bait lirik yang dipadu erat oleh kebolehan lontaran vokal yang cukup mantap juga tersendiri.

Apabila mendengar lagu Diriku Terbelenggu, teringat pula zaman sekolah dulu. Kalau tidak silap, saya masa itu masih menuntut dalam tingkatan 3. Masuk pertandingan nyanyian di sekolah, saya pernah mendendangkan lagu ini dengan jayanya dan memperoleh tempat kedua.

Untuk lebih nostalgia dan mengimbas kembali kenangan cinta monyet, lagu seperti Kau Lilin Cintaku dan Aku Hanya Pendatang memang saya ulang sampai haus pita kaset kakak saya.

Menarik kerana Fran sudah kembali kepada Manan Ngah! Begitulah Aku satu-satunya lagu terbaru ciptaan Manan dengan lirik karya Loloq dan Manan sendiri. Pun begitu, saya fikir lagu itu tidak cukup kuat menandingi aura Fran-Manan-Lukhman S dulu. Ia boleh berlaku lagi tetapi tidak menerusi lagu ini.

Apapun, Berlian sebuah album yang tidak harus dipinggirkan peminat Fran. Ada sebuah lagi album yang akan ditonjolkan minggu ini, Heart tetapi ia akan diulas Abang Gebang, Roslen.

The contents of this website are copyrighted.
Reprinting and redistribution of all materials on this website is strictly prohibited without any written permission.
Designed by Bibiana Peter, Francissca Peter and Techflexx. Site Administrator