Jamal Abdillah - Mula mengenali diri

Oleh MUZLINA ABU BAKAR


JAMAL , Fran dan pengacara, Dee (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETELAH hampir 26 tahun menceburi bidang senisuara, buat pertama kalinya penyanyi popular tanah air, Jamal Abdillah menjawab pertanyaan para wartawan dalam sidang akhbar dengan penuh yakin tanpa rasa malu atau ragu-ragu.

Dalam sidang akhbar sempena Minggu Setiausaha anjuran D'Saji dan Mahir Entertainment, Jamal yang kelihatan berisi berbanding sebelum ini berkata bukan mudah hidupnya sebelum ini kerana dibelenggu dengan dadah.

``Tetapi setelah enam bulan saya menjadi penghuni Pengasih, saya baru tahu bagaimana meluahkan apa yang terbuku di dada. Sebelum ini apa juga yang saya rasakan saya pendam dalam hati kerana perasaan rendah diri.

``Tetapi alhamdulillah kini saya mula mengenali diri dan itu amat penting untuk menjalani hidup sebagai insan biasa dan panas baran saya juga sudah hilang.

``Sebenarnya saya memang mahu hidup seperti insan biasa dan tidak me njadi hamba kepada dadah tetapi sudah begitu suratan hidup saya. Bagaimanapun kini saya mahu menjadi insan yang lebih berguna,'' kata Jamal abdillah ketika ditemui selepas sidang akhbar itu.

Kata Jamal, dia memang sedar setiap kali dia meluahkan hasrat hatinya untuk kembali ke pangkal jalan masyarakat sering memandang serong kepadanya.

``Saya tidak salahkan sesiapa memang salah saya, tetapi saya bersyukur mempunyai ayah yang begitu menyayangi dan mendoakan kebahagiaan saya. Akhirnya Tuhan makbulkan doanya dan saya mahu jadi Jamal Abdillah yang baru meskipun sudah hampir 30 tahun dadah mempengaruhi hidup saya,'' kata Jamal lagi.

Menurut Jamal, kehadirannya semula setelah enam bulan berada di Pengasih diharapkan akan memberi sinar baru dalam kariernya.

``Tidak ada orang yang tahu betapa deritanya hidup saya dalam usia menjangkau 47 tahun saya tidak punyai seorang isteri untuk sama-sama melayari hidup di hari muka.

``Biarpun begitu saya tidak pernah salahkan sesiapa cuma bersyukur kerana sebelum ini saya pernah mempunyai isteri yang begitu baik dan memahami masalah saya,''akui Jamal.

Jamal yang pernah berkahwin dengan Basariah Latiff (Dee) selama 8 tahun dan Noraina Yusof selama dua tahun menganggap bekas isteri-isterinya itu adalah wanita yang begitu baik dan tabah dalam menjalani hidup bersamanya.

Hasil daripada perkahwinan keduanya itu, Jamal dikurniakan seorang anak lelaki Osama Yamani yang kini berusia 3 tahun 2 bulan.

``Osama kini duduk di Ipoh bersama datuknya (bapak Jamal), baru minggu lepas saya melihatnya. Seronok rasanya bila melihat satu-satunya zuriat saya itu begitu gembira dan manja bila bertemu saya.

``Insya-Allah jika ada waktu terluang saya akan membawa Osama ke KL untuk bersama-sama saya kerana saya ingin menebus waktu yang terbiar begitu saja tanpa Osama di sisi,'' cerita Jamal mengenai anaknya.

Bila ditanya mengenai pasangan hidup tanpa berselindung Jamal berkata;

``Ada ke perempuan yang sanggup menjadi isteri saya? Kalau ada perempuan yang mahu berkahwin dengan saya dia bukan saja berkahwin dengan saya malah dengan karier dan masalah saya.

``Saya tidak tahu apakah ada perempuan yang sanggup begitu kerana saya tahu sukar bagi perempuan menerima saya. Walaupun hidup saya sunyi tetapi saya bersyukur kerana mempunyai keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada saya.''

Menyentuh mengenai persembahannya di Malaysia's Legendary Performers Serenande Secretaries and Bosses pada 13 April depan bersama Francissca Peter, Jamal berkata walaupun ini adalah pertama kali mereka akan berduet pada hari itu setelah 16 tahun terpisah, beliau yakin dapat memberikan hiburan yang memuaskan buat para peminatnya.

``Selain lagu Kehebatan Cinta yang menjadi kesukaan ramai ketika dirakamkan pada tahun 1989, saya dan Frans akan menyanyikan beberapa lagu popular kami sepanjang 1 jam 30 minit persembahan itu nanti.''

Bagi Frans pula walaupun sudah 16 tahun terpisah dari rakan duetnya kerana kesibukan masing-masing beliau yakin keserasian antara mereka tetap ada.

``Ikhlas cakap saya memang mengagumi Jamal kerana bagi saya dia adalah seorang penyanyi lelaki yang mempunyai suara cukup hebat. Sebab itu apabila Mahir Entertainmennt mengundang saya untuk menjayakan Minggu Setiausaha bersama Jamal Abdillah saya tidak menolak malah meminta adik saya, Bibiaya yang juga pengurus saya supaya menolak apa juga undangan pada hari itu,'' akui Frans terus-terang.

Dalam persembahan itu nanti, Jamal dan Frans akan diirinngi oleh para pemuzik yang diketuai oleh S.Atan.